Saturday, January 2, 2010

10 TIPS MENGHADAPI PERTANYAAN HAL NIKAH KAHWIN DI KENDURI KAHWIN

'Eh. You ni bila nak kahwin ni?'
'Si Along dah kahwin..kau bila lagi?'
'Takkan takde calon kot? takpun kau memilih sangat tak?'


Jujur. Contoh persoalan diatas seringkali membuat saya cukup trauma untuk menghadiri sebarang majlis perkahwinan rakan atau saudara terdekat. Bukan sahaja rasa tidak selesa tetapi ianya lebih kepada tidak mahu dijadikan bahan usikan tetamu yang hadir. Lebih haru lagi jika mereka ini beranggapan bahawa golongan wanita akhir 20an ini tidak berkahwin kerana tidak laku atau memilih pasangan. Situasi ini seringkali dihadapi oleh wanita bujang yang belum berkahwin (seperti saya.Anda lelaki diluar sana berasa teruja tak?) dan masih mencari-cari pasangan hidup atau wanita yang sudah ada teman lelaki tetapi teman lelaki masih tidak memberikan sebarang tanda-tanda untuk melamar (gila tahap cipan namanya kalau 7 tahun bercinta masih belum ada tanda-tanda teman lelaki anda hendak melamar)


Bukan tidak ingin berkahwin tetapi mungkin belum sampai seru (ayat ini memang agak klise tetapi itulah kenyataannya). Seru disini bermaksud kuih bahulu berperisa pandan dicicah dengan air sirap dan goreng pun sodap (tak baik mempermainkan adik-adik sekolah tadika dengan makna perkataan merapu. Baik berterus terang je cepat) Okay. Okay. Seru disini bermaksud belum tiba masanya jodoh tersebut dengan diri kita (diharap adik-adik tadika dapat belajar gunakan ayat ini dalam pertandingan penulisan esei anjuran Kelab Kebajikan Wonderpets disekolah adik-adik nanti ya)


Bayangkan anda seorang gadis jelita berusia akhir 20an menghadiri kenduri kahwin sepupu perempuan anda bersama ibu dan bapa anda. Sepupu anda itu sama cantik dan sama padan dengan anda (rasanya anda lebih cantik sedikit berbanding sepupu anda kalau anda menggunakan produk Tummitrim-lihat perut ku ramping kan terima kasih Tummitrim). Berkebaya nyonya ketat dan bertumit 4 inci. Bibir anda menggunakan lipstik berjenama Maybelline Watershine berwarna merah jambu. Gaya penuh mutu dan keunggulan, anda dihampiri oleh paklong, makteh, tokngah sekeluarga (itu belum masuk kucing siam berbulu lebat adik sulung tokngah lagi menumpang sekaki). Mereka dengan penuh bergaya mengajukan soalan-soalan sepertimana contoh diatas. Saya pasti kebaya anda akan dibasahi peluh dalam masa 5 minit dari sekarang(tetttt..masa dah tamat).


Jadi bagaimana anda ingin mengelak pertanyaan pasal hal ehwal kahwin ini? Tarik nafas panjang, buka mata anda selebar yang mungkin dan kembang kempiskan hidung anda selama 10 saat (apekah?). Disini saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memberikan 10 tips bagi menghadapi pertanyaan seperti diatas. Mari kita mulakan:


1. Jangan panik. Sekiranya anda diasak dengan pertanyaan sebegitu oleh sanak saudara anda, anda hanya perlu senyum sahaja dan tenang membalas dengan jawapan 'belum ada jodoh' (COMMON SENSE tetapi ianya berjaya. Tenang disini bermaksud kawal diri dari sifat amarah-padahal dalam hati nurani anda yang suci minyak murni itu menyumpah-nyumpah TOLONGLAH AKU DAH MUAK NAK MAMPOS DENGAN SOALAN INI TAU TAK). Anda perlu ingat semakin anda tenang, maka semakin mereka rasa serba salah untuk bertanya anda lebih lanjut.


2. Sebaik sahaja anda boleh mengagak mereka akan membuka mulut untuk bertanyakan persoalan tersebut maka anda harus cepat-cepat timbulkan isu hangat yang terpampang didada akhbar ketika itu. Sebagai contoh kes keputusan PMR seramai 5,000 orang pelajar mendapat keseluruhannya A atau kes penangkapan khalwat antara kucing betina jiran anda dengan biawak terbang milik zoo negara.


3. Anda harus mengatakan bahawa anda belum bersedia lagi untuk berkahwin dan ini masanya anda perlu tumpukan pada karier anda (walaupun dalam hati anda memang setiap malam tepat jam 12 tengah malam selama 20 minit tolak 1 minit 60 saat anda menjerit mengigau ingin sangat duduk dipelamin dan akhirnya tilam jenama Vono anda terpaksa disidai ditepi pagar kerana basah lencun mengigau..merepek jadi tolong abaikan. Terima kasih)Walaupun nampak macam 'plastik' dan sedikit berlakon tetapi peduli apa kan janji anda dapat elak dari soalan tersebut kan.


4. Sebut berkali-kali bahawa calon pilihan anda kini mencecah seramai lebih 10 orang dan anda perlu buat keputusan tepat demi masa hadapan anda dan demi masa nusa bangsa anda. Nama-nama calon itu anda sebut sahaja nama lelaki yang terlintas dihati anda ketika itu dan lagi elok jika anda sebut sekali jawatan dan nombor kad pengenalan mereka dengan nada kuat dan penuh yakin sekali. Ingin diingatkan bahawa jangan sesekali anda menyebut nama pengantin lelaki yang sedang bersanding dengan sepupu anda pada hari kenduri tersebut nescaya anda akan dijadikan lauk pengantin pada hari kenduri itu juga.


5. Berpakat dengan ibu dan bapa anda bahawa anda kini telah dirisik oleh seseorang tetapi anda mengambil masa agak lama untuk membuat keputusan memandangkan anda perlu melalui proses mengenal hati budi lelaki tersebut. Kalau hendak saham anda lebih naik lagi anda katakan sahaja lelaki yang merisik anda tersebut merupakan usahawan berjaya yang duduk menetap dikutub utara. Oleh demikian itulah anda perlu membuat keputusan yang tepat bagi mengelakkan anda terpaksa menetap di kutub utara bersamanya selepas berkahwin kelak.


6. Elakkan dari berbual dengan golongan dewasa. Cukup hanya bersalaman dan bertanya khabar. Selebihnya dicadangkan anda menawarkan diri menjaga anak-anak sepupu anda yang lain (bayi atau kanak-kanak kecil) ketika mereka sedang sibuk bersembang sesama mereka. Anda boleh mendukung dan bermain polis sentri dengan kanak-kanak ini diluar zon berbahaya ini (jangan bawa mereka ke kedai seven eleven nanti rabak pulak poket anda)dan jagalah kanak-kanak dibawah umur ini sehingga ahli persatuan borak-borak kosong dibubarkan.


7. Bawa bersama rakan karib anda yang lelaki (jika anda harus pergi sendirian ke majlis perkahwinan tersebut dan ibubapa anda akan menyusul kemudian). Harus diingatkan bahawa rakan karib yang akan menemani anda tersebut mestilah lelaki yang paling kacak atau paling hebat dikalangan rakan karib lelaki anda yang lain. Ini bagi menaikkan saham ibubapa dan anda nanti.


8. Berfikiran positif dengan menganggap persoalan tersebut bukan untuk membuatkan anda berada dalam tekanan tetapi persoalan tersebut datangnya dari orang-orang yang menyayangi anda. Lebih bagus kalau anda ambil sikap masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Tarik nafas dan jawab dengan senyuman.


9. Ajak rakan-rakan bujang yang lebih berusia dari anda ke majlis tersebut dan hadir bersama-sama. Kalau boleh rakan anda tersebut berusia lebih dari anda sepuluh tahun atau lebih sehari dari anda pun tidak mengapa. Asalkan lebih tua dari anda.


10. Mohon bantuan ibubapa anda dan lagi bagus mohon bantuan orang yang bertanya soalan tersebut kepada anda agar mencarikan anda jodoh paling sesuai bagi anda. Jika setiap kali terserempak dengan mereka di majlis kenduri dan sebagainya, anda harus cepat-cepat buka mulut sebelum mereka membuka mulut bertanyakan soalan yang sama dengan soalan anda berbunyi 'Dah jumpa ke calon untuk saya? Kata nak tolong carikan..masa depan saya bergantung kepada Tok Ngah tau'. Nescaya lepas ini mereka pasti menggigil nak jumpa anda dan berfikir lapan juta kali darab 3 bahagi lima untuk bertanyakan anda soalan yang sama.


Diharapkan agar 10 tips diatas dapat membantu anda sebagai wanita yang selama ini mungkin agak tertekan apabila ditanya bab nikah kahwin ini. Maklumlah yang bertanya itu mungkin tidak faham keadaan sebenar kita. Paling penting jika kita telah berusaha sedaya upaya, jika kita cantik macam angelina jolie ataupun cindy crawford sekalipun tetapi jika belum jodoh kita maka kita tidak boleh berbuat apa-apa pun. Semua itukan urusan Allah. Kepada yang bertanya itu pun, agak-agaklah kalau nak bertanya. Jangan sampai mengaibkan dan membuat si empunya diri itu berasa seperti ingin menerima hukuman mandatori ditali gantung.


Apapun, jika anda tergolong didalam wanita seperti diatas (dan senasib dengan saya), saya mendoakan anda bertemu jodoh yang baik-baik sahaja dan jodoh anda adalah orang yang paling anda cintai. Hanya Tuhan (Allah) sahaja yang Maha Mengetahui.
Bersabar dan tawakal. Itu jalan sebaiknya. Jodoh anda pasti ada. InsyaAllah.

2 comments:

Anonymous said...

perghh. i like itx2 the way u wrote your artical...hebat tahap gaban..huhuhuu..
emm..mmg tip2 dia pun amat berkesan dan sungguh tepat sekali(bull eye),..huhuhu. Keep it up.mmg berbakat utk menjadi seorg penulis.

hye babes said...

thank your for your compliments :)
terima kasih kerana sudi membaca
dan terus membaca..

 
Hye Babes © 2008 Template by Exotic Mommie Illustration by Dapina